Kita sebenarnya bukanlah jasad ini, kita bukanlah tangan ini, bukan mata ini, fizikal kita hanyalah alat yang diberikan Allah untuk kita melakukan aktiviti memenuhi tugas dan amanah kita di muka bumi ini.
Bayangkan seorang Eksekutif yang baru memulakan tugas, apakah antara kemudahan yang mula-mula diberikan kepadanya? Sebuah komputer bukan? Dengan komputer itu si Eksekutif tadi akan mudah melakukan tugasannya.
Allah juga memberikan komputer ini kepada wakil-Nya untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan. Itulah fizikal kita yang lengkap dengan sistem otaknya yang begitu hebat, sistem perjalanan darah, sistem penghadaman dan berbagai-bagai sistem yang ada di dalam diri kita.
Mana hebat komputer Allah ini berbanding PC kita di pejabat? Tak terbandingnya bukan? Bukan sahaja Allah bekalkan kita dengan sebuah "komputer" yang begitu hebat sistemnya tapi Allah bekalkan juga kita akal fikiran, nafsu dan Ruh yang masing-masingnya punya potensi yang amat luar biasa sekali. Segala yang diberikan Allah ini menjadikan kita makhluk Allah yang paling sempurna dan dengan kesempurnaan itu dibandingkan dengan makhluk-Nya yang lain maka kita dilantik menjadi wakil-Nya di muka bumi ini.
Malangnya selama ini kesedaran ini tidak ada. Kita merasakan diri kita ini adalah fizikal berserta nafsu dan akal. Maka bila kita pandai membuat sesuatu, kita dengan cepatnya merasakan kitalah yang pandai itu. Betulkan?
Saya diberi peluang diajar Allah untuk MERASAKAN diri saya yang sebenarnya. Ketika kita tidur, diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad kita. Badan dan fizikal kita semuanya lemah dan ibarat sebuah komputer yang di off kan suis ke sumber elektrik maka komputer itu tidak mampu menjalankan apa juga aktiviti yang biasanya boleh dijalankan sebelumnya.
Sama dengan fizikal kita, apabila kita tidur, ia hanya sebuah fizikal kosong, tidak mampu melihat, tidak mampu berfikir, tidak mampu berjalan.Benarkan? Diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad itu. Allah ada menerangkan hal ini di dalam Al-Qur'an bahawa Allah mengenggam jiwa kita saat kita tidur dan sekiranya kita diberi umur lagi maka Allah akan mengembalikan jiwa kita dan kita hidup sehari lagi dan begitulah yang berlakunya setiap hari.
Petang semalam saya dan suami tertidur di dalam kereta sementara menantikan appointmentkami dengan seorang sahabat. Kami tertidur kerana terlalu amat keletihan. Badan saya begitu amat lemah dan terus saya tertidur. Lebih kurang dua jam selepas ini, saya sedar tetapi saya tidak dapat bergerak, saya tidak dapat menggerakkan tubuh saya.
Saya sangat sedar ketika itu, ingin sahaja saya panggil suami saya di sebelah agar dapat menggerakkan tubuh saya yang kaku tapi tidak berdaya. Saya sempat berkata di dalam hati saya, adakah tiba masanya saya pulang pada Allah?Saya cuba lagi menggerakkan tubuh saya namun tidak mampu.
Saya katakan pada diri saya ketika itu, siapkan saja untuk menghadap Allah.Saya hampir tidak mahu mencuba lagi dan ingin saja terus menyerahkan diri kepada Allah.Kemudian timbul satu kekuatan untuk terus berusaha kerana di hati masih ingin terus hidup. Maka saya kuatkan sepenuh tenaga untuk menggerakkan tubuh saya dan tiba-tiba saya terjaga.
Sebenarnya saya pernah mengalami keadaan seperti ini. Saya rasa sahabat semua pernah mengalaminya bukan? Kita tersedar dari tidur tapi badan tidak dapat digerakkan.
Macam-macam penjelasan kita pernah dengar, ada yang kata kena himpit dengan hantu, ada yang kata badan letih sangat. Semalam saya mendapat satu paradigma yang baru.
Saya terus menyedari bahawa ITULAH AKU YANG SEBENARNYA.
Aku yang pada hakikatnya terpisah dari jasad ini, aku yang sebenarnya bukan jasad ini. Alhamdulillah, sudah berapa lama perkara ini terjadi tetapi kita tidak menyedari bahawa Allah memberikan kita pengalaman MERASAKAN diri kita yang sebenarnya.
Terima kasih Allah.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.