السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, September 15, 2011

Redha Allah s.w.t Di Atas Redha Ibu Bapa




Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas baginda s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Keredhaan Allah atau Mardhotillah adalah sesuatu yang diharapkan oleh sekalian hamba Allah yang beriman. Setiap amalan yang kita lakukan hendaklah dengan niat untuk mendapatkeredhaan Allah kerana tiada apa lagi ganjaran yang lebih tinggi melainkan redha Allah s.w.t ke atas kita semua. Dengan redha Allah barulah kita mendapat bantuan, pertolongan dan ganjaran dari Nya. Salah satu jalan meraih redha Allah adalah dengan mencari keredhaan ibu dan bapa kita.
Mencari keredhaan ibu bapa tampak seperti perkara kecil bagi muda-mudi Islam di zaman moden ini. Ada dari kita yang tidak menjaga adab dengan ibu bapa, ada yang mengaggap ibu bapa seperti rakan sebaya malah ada dari kita yang sanggup membentak dan menderhaka kepada kedua insan yang membesarkan kita dengan penuh susah dan payah. Mengundang kemarahan ibu bapa sama ertinya dengan mengundang kemarahan dan kemurkaan Allah s.w.t. Begitu juga sebaliknya.  Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang memancing kemarahan ibu bapanya bererti dia memancing kemurkaan Allah dan sesiapa yang menyukakan hati ibu bapanya
bererti dia membuat Allah redha kepadanya." (Riwayat Baihaqi)
Kemarahan ibu bapa kadang kala tidak terlihat di raut wajah mereka. Kita sama sekali tidak tahu mereka berkecil hati terhadap perilaku kita. Oleh kerana itu adalah menjadi kewajiban bagi kita semua untuk menjaga adab dan tingkah laku kita sebagai seorang anak setiap masa sebagaimana firman Allah s.w.t:
"Dan TuhanMu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah antara keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun "Uh", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun)." (Al-isra' :23)
Cuba kita merenung kembali saat mereka membesarkan kita. Ketika itu kita hanyalah seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Tiada kekuatan dan tiada daya dan upaya tanpa pertolongan mereka. Bayangkan saat kita semua menangis ditengah malam, mereka bersengkang mata mendodoi dan menidurkan kita.
Tiada istilah tidur nyenyak bagi mereka demi untuk memastikan kita tidur dengan baik. Adakah kita semua lupa saat itu?. Fikirkan kembali bagaimana mereka memberikan kita makan, tempat tinggal, pelajaran, duit dan segala macam kesenangan untuk membesarkan kita hingga kita menjadi diri kita sekarang ini. Fikirkah kita semua itu?.
Sekarang, saat kita membesar dan mempunyai kekuatan, daya dan kesenangan, mudah bagi kita melupakan jasa kedua ibu bapa. Sedangkan suatu masa dahulu kita hanya tahu menangis dan meminta. Ketika mereka tidak lagi berdaya, tubuh sudah lemah, rambut dipenuhi uban dan mata mulai kabur, mungkinkah bagi kita menjaga mereka sama seperti mereka menjaga kita sewaktu kita kecil?.
Fikirlah sejenak wahai diriku dan saudaraku sekalian. Ada benarnya pepatah mengatakan bahawa seorang ibu dan bapa boleh menjaga sepuluh orang anak dalam suatu masa namun sepuluh orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu dan bapa. Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan.
Lihatlah wajah mereka, curahkanlah segala kasih sayang buat ibu dan bapa. Sesungguhnya mengasihi mereka membuahkan kemaafan dan keampunan dari Allah terhadap dosa kita. Ketika Abu Musa dan Abu Amir sampai ke Madinah dan berbai'ah kepada Rasulullah, maka Rasulullah bertanyakan keadaan isteri mereka ketika ditinggalkan. Mereka menjawab "Isteri saya tinggal bersama orang tuanya dan berbakti kepadanya" Rasulullah s.a.w berkata "Dosa-dosanya telah diampunkan oleh Allah s.w.t" Mereka bertanya kepada Rasulullah "Kenapa ya Rasulullah?." Baginda menjawab "Kerana dia berbakti kepada orang tuanya".
Hargailah ibu bapa kita selagi hayat mereka masih ada. Selagi mereka masih disisi kita, itu adalah anugerah Allah dan wajiblah kita menjaga mereka sebaik mungkin. Tanpa ibu dan bapa siapalah kita. Ucapkanlah kata sayang, tautkanlah bibit cinta dan rantaikanlah dengan rantaian kasih bersama mereka. Moga redha Allah bersama dengan kita kerana redhanya ibu bapa terhadap kita. insyaAllah.

Kesedaran Tentang Couple




"Aisyah, awak hati-hati dengan dia, ramai orang  tak suka dia.."
"Lina,aku kenal dia..dia baik.."
3 tahun selepas itu.
"Eh, silap lagi.." aku tersenyum sambil memandang ke pintu pejabatku yang tertera perkataan 'TARIK'.. entah berapa kali aku cuai menggunakan pintu itu kerana sering sahaja aku menolaknya.
Hari ini genap  enam bulan aku bekerja di syarikat Suria Berhad, setelah aku tamat pengajian di universiti dalam bahagian undang-undang.
Hari ini juga 12 Disember. Tarikh hari lahirku. Sedari tadi aku sibuk melayan mesej ucapan hari jadi yang diberikan oleh kawan-kawan ku yang semakin bertambah di salah satu laman sosial yang semakin digilai ramai masa kini.
Sedang aku sibuk membalas mesej, telefonku berdering.. aku tersenyum melihat nama yang terpapar di skrin pemanggil, 'Lina Cute'..
"Happy biryhday to you.. happy birthday to you..happy birthday Aisyah!"
"Lina! Thanks sangat!'
Kami pun berborak panjang.
"Bye Aisyah, take care ye.. aku rindu dekat kau sangat.. nanti senang datang la rumah ye.. selamat menyambut hari tua ye.. hehe,aku gurau je..assalamualaikum.."
"Tua tapi comel kan Lina, hehe, thanks sekali lagi, insyaAllah aku datang, waalaikumussalam Lina."
Aku tersenyum lagi mengenangkan teletah Lina,kawan baik aku sejak di universiti dahulu.
Kata-kata Lina di dalam perbualan kami sebentar tadi mengusik hatiku, "Aisyah, hari jadi kau sama tarikh dengan Zaidi kan, kau tak beri ucapan kat dia ke?"
Zaidi.
Nama yang dahulunya menjadi begitu manis dibibirku. Kini tidak lagi. Hampir tiga tahun perkara itu berlalu. Sebuah memori yang menjadi titik tolak bagaimana aku dapat menjadi diri aku yang sekarang ini.
Aku menjalinkan hubungan cinta sebelum nikah dengan Zaidi. Pada mulanya aku yang sudah banyak kali dikecewakan berasa berat untuk menerima cintanya. Lama-kelamaan aku semakin menyayangi Zaidi. Aku yang begitu menitik beratkan soal agama dahulu kecundang di dalam perangkap cinta aku sendiri.
Dahulu aku tidak benarkan lelaki bukan mahram melihat auratku. Tetapi demi kasihkan Zaidi aku sanggup mempamerkan rambutku di depannya. Aku semakin bebas dan hubunganku dengan kawan baikku Lina juga semakin renggang akibat aku sentiasa mengelak untuk luangkan masa dengannya dan banyak masa yang ku habiskan dengan Zaidi sahaja.
Aku lupa hukum agama yang selalu aku jaga, iaitu tidak akan membenarkan lelaki bukan mahram memegang tanganku. Akhirnya aku relakan demi Zaidi.
Aku masih ingat sewaktu aku dan Zaidi balik dari menonton wayang. Kami berborak di tempat tersembunyi di dalam keretanya,dengan tidak dijangka,dia mencium mulutku. Aku jadi marah dan mendiamkan diri.
Zaidi pula tidak memujukku malah marah dengan sikapku, katanya aku tak 'open minded'. Aku yang sangat mencintainya lama-kelamaan memujuknya kembali dan aku membiarkan sikapnya yang begitu ke atasku.
Walau banyak perkara yang aku dan Zaidi telah lakukan, sehingga kini aku bersyukur kerana aku dan dia tidak berzina.
"Awak, kita berpisah sahaja lah," hatiku tersentak dengan kata-kata Zaidi pada suatu hari.
Hatiku hancur. Ternyata aku dipermaikan oleh insan yang sangat aku sayangi.
Saat itu aku jadi seperti 'kucing hilang tanduk'. Tidak tentu arah. Aku masih ingin kembali bersama Zaidi.
Berkali-kali aku menghubungi Zaidi agar hubungan kami terjalin seperti dulu. Tetapi tidak satu pun panggilan dan mesejku dijawab olehnya.
Aku berkurung di dalam bilik setiap hari.
Menghabiskan masaku di depan laptop menghilangkan rasa rindu di hati terhadap Zaidi.
Satu petang. Jam 6 ptg. Aku terpandang satu link ke laman web di laman sosial yang selalu aku layari.
Hatiku mengomel, "laman web apa ni, cuba la tengok."
Setelah membukanya aku terpandang satu artikel 'Couple itu Haram'. Aku segera membacanya. Ayat demi ayat aku baca dengan linangan air mata.
Benar aku sudah menjauh dari Islam. Aku telah menjauh dari Allah.  Petang itu aku menangis semahunya. Dan aku bertekad untuk membaiki diri dan menjadi lebih semangat untuk keluar dari dihimpit kesedihan.
Banyak perubahan yang aku alami. Aku telah membuat 'transformasi' yang besar kepada hidup ku. Pakain, solat, hubungan antara bukan mahram, semua aku jaga dengan baik.
Lina pula setelah aku ditinggalkan Zaidi, hubungan kami tidak lagi serenggang dulu. Kami saling meminta maaf antara satu sama lain dan menjadi sahabat yang baik kembali seperti dahulu. Aku menyesal kerana tidak menuruti kata-katanya dahulu, "Aisyah,awak hati-hati dengan dia, ramai orang tak suka dia.."
Alhamdulillah.
Sehingga kini aku masih menjadi peminat setia melayari iluvislam.com dan sentiasa membaca artikel-artikel yang di paparkan.
Aku sangat bersyukur kepada Allah kerana masih diberi peluang kedua untuk membaiki diri dan menjadi muslim yang baik.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Anugerah hidayah terindah dari Allah. Terima kasih Allah. Terima kasih iluvislam.com!
Nota : Cerita di atas adalah sebuah kisah benar yang telah diubah sedikit jalan cerita, nama pelaku dan tempatnya.
Moga ia menjadi pedoman bagi semua yang membaca dan tidak henti-henti membaca serta sentiasa memberi sokongan yang padu kepada iluvislam.com. InsyaAllah.
Islam milik kita, kitalah yang berhak menjaganya. Ingatlah, Allah tidak malu untuk menerima taubat dari hamba-hambaNya.
Hidayah adalah hak mutlak Allah SWT. iluvislam.com adalah asbab kepada hidayah ini. Alhamdulillah.

Kerana Aku Lebih Sayangkan Allah s.w.t





Maaf, Ini Adalah Yang Terbaik.
"Apa yang aku dah buat ni....?
Astaghfirullah, selama ni aku ingin mencari keredhaan Allah. Aku ingin berdakwah. Aku kongsi artikel Islam untuk semua kawan aku. Kononnya ingin memuhasabahkan diri, dan juga kawan-kawan yang lain. Tapi apa yang telah aku lakukan?
Aku masih melakukan dosa! Dosa yang 'izhar'. Terang dan nyata. Aku masih bercinta! Cinta yang belum lagi halal dan sah buatku. Ya Allah....apa yang telah aku lakukan ni...?"
Aku berfikir sejenak.
Sebelum ni kami memang pernah berbincang mengenai hal ini. Couple itu haram. Tapi disebabkan terlalu cinta, kami masih belum sedia untuk memutuskan hubungan ini. Kami terlalu sayangkan hubungan ini. Dan aku, terlalu sayangkan dirinya. Sebab dialah yang banyak mengajar aku apa erti cinta.
Sebelum ni aku pernah dikecewakan oleh seorang lelaki. Aku serik. Tapi kehadirannya dalam hidupku mengubah segalanya. Aku yakin, dia adalah untukku. Tapi perjalanan kami masih terlalu jauh. Aku sangat sayangkan dirinya, tapi aku lebih sayangkan Allah.
Mungkin inilah saatnya untuk mengatakan semuanya kepada si dia. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan. Semoga Engkau permudahkan semua ini... Hatiku berkata. Aku sengaja kongsi artikel itu kat social network aku.
Si dia: Saya baca link yang awak share tu..
Saya: Oh artikel tu.. yeap.
Si dia: Semua artikel mengenai couple dalam Islam yang saya baca, semua macam tu. Hmm..
Saya: Saya nak beritahu kat awak sesuatu yang sangat penting. Sebenarnya, perjalanan kita masih jauh lagi. Kita masih belajar, 3 tahun lagi baru nak grad. Kita sama-sama nak mencari keredhaan-Nya, tapi kita masih melakukan dosa.
Walaupun tidak melakukan zina yang zahir, tapi kita masih berzina hati. Awak faham kan maksud saya? Kita masih merindui diri masing-masing. Sedangkan kita tahu, kita masih belum ada ikatan. Terlalu jauh nak fikirkan semua tu. Saya rasa bersalah kat Allah. Sebab saya cakap saya sayangkan Allah, tapi saya masih tak dapat tinggalkan apa yang saya cintai..
Si dia: Saya tahu. Kita cakap mengenai Islam, kita berdakwah, tapi kita sendiri belum betul-betul tinggalkan apa yang Islam suruh kita tinggalkan. Saya pun ada berfikir pasal ni jugak.. Terasa diri ni hipokrit, sebab saya suruh kawan buat benda yang baik, tapi saya sendiri masih melakukan dosa..
Saya: Saya dah lama berfikir pasal ni sebenarnya. InsyaAllah, inilah masanya. Hmm, awak.. Mungkin ini saatnya untuk kita berpisah... kerana Allah. Saya nak buktikan kepada Allah, yang saya lebih sayangkan Allah, lebih dari segalanya..
Si dia: Kerana Allah kita berjumpa, kerana Allah juga kita berpisah. Kita hanya ciptaan-Nya, memang patut kita sayangkan Allah lebih dari apapun. Saya setuju kalau semua ini kerana Allah. Awak, mungkin ini berat untuk awak, saya pun terasa berat juga.
Tapi sebagai hamba, kita mesti berusaha untuk mencari keredhaan-Nya, kita mesti berkorban. Awak doalah banyak-banyak.. InsyaAllah, kalau kita ada jodoh, Allah akan pertemukan kita kembali. Simpanlah air mata tu. Assalamualaikum. Jaga diri baik-baik ye, awak...
Ya Allah... Hubungan yang hampir 3 tahun terjalin tu telah pun berakhir. Berat, memang berat. Hati ini berat untuk melepaskan kata berpisah. Aku tahu, hatinya juga terasa berat untuk merelakan aku pergi. Kami sama-sama setuju untuk berpisah hanya kerana Allah. Air mata ini mengalir, dan terus mengalir. Aku terus saja inform sahabat karib aku, sebab dialah satu-satunya sahabat yang memahami aku.
"Memang bukan senang untuk lupakan, tapi terimalah, sebab awak lakukan ini kerana Allah. Buktikan kalau awak memang sayang kat dia sebab Allah. Hati ini memang badan yang punya, tapi hakikatnya, Allah yang punya.
Kalau Allah yang punya, mestilah Allah lebih berkuasa terhadapnya, kan? Redha lah.. sebab kalau kita lepaskan sesuatu tu kerana Allah, InsyaAllah, Allah akan permudahkan. Memang lepas ni awak akan rasa kosong, sebab hari-hari tu selalu ada diriya. Apatah lagi hubungan ini berakhir bukan dengan cara yang tidak baik. Lagi sukar untuk melupakannya. Awak bawa solat banyak-banyak, berdoalah supaya dia adalah jodoh awak. Baca Al-Quran supaya hati awak tenang..."
Aku redha dengan ketentuan Ilahi. Biarlah aku korbankan cintaku terhadap si dia semata-mata kerana Allah. Kerana aku yakin, Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanan hamba-Nya. Aku ada pernah terbaca...
".. rindu yang disertai dengan menjaga diri padanya dan menyembunyikannya daripada orang-orang, maka padanya pahala, bahkan Ath-Thohawi menukil dalam kitab Haasyi'ah Marakil Falah dari Imam Suyuthi yang mengatakan bahawa termasuk dari golongan syuhada di akhirat ialah orang-orang yang mati dalam kerinduan dengan tetap menjaga kehormatan diri dan disembunyikan daripada orang ramai meskipun kerinduan itu timbul daripada perkara yang haram."
Kali ini, biarlah aku mencintai dan merinduinya dalam diam. Biarlah aku memendam kerinduan dan cintaku terhadapnya sehingga sampai waktunya. Jodoh itu ditangan Allah. Aku tidak akan berputus asa. Aku akan berdoa semoga dia adalah untukku, InsyaAllah.
"Seandainya telah Engkau catatkan dia tercipta buatku, satukanlah hatinya dengan hatiku, Ya Allah. Tetapi ya Allah, seandainya telah Engkau takdirkan dia bukan milikku, bawalah ia jauh dari pandanganku, luputkanlah ia dari ingatanku, dan peliharalah aku dari kekecewaan.."
Hati ini memang lemah, memang sedih, tapi Allah telah berfirman..
Surah Al-Imran, ayat 139 yang bermaksud:
"Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman."
Surah At-Tawbah, ayat 40 yang bermaksud:
"Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita."