السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, August 18, 2011

Bagaimana aku mula bertudung labuh

Aku mengurut-urut keningku perlahan-lahan. Penat. Aku baru sahaja selesai mengulangkaji sebahagian buku subjek Muamalat. Ku tutup buku itu lalu aku bangun dan melangkah keluar dari bilik. Aku menuju ke ruang tamu. Kosong. Di mana semua orang. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk keluar menghirup udara petang. Aku segera mencapai sehelai tudung dan menyarungkannya di kepala. Stoking juga ku ambil lalu ku pakai.
Aku melangkahkan kakiku ke luar rumah. Tetapi hasrat untuk berjalan-jalan ku batalkan lalu aku mengambil keputusan untuk naik ke bumbung rumah. Di atas bumbung rumahku ada sebuah bahagian seakan-akan balkoni yang dibina oleh ayahku sebagai tempat istirehat pada waktu-waktu senggang. Ada sebuah meja dan beberapa kerusi buatan sendiri di situ.
Aku melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi yang menghadap ke jalan raya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tudungku turut terbuai ditiup angin semilir petang. Ada anak-anak kecil yang sedan berkejaran. Ada yang sedang berbasikal dan ada yang sedang bermain badminton. Aku tersenyum melihat anak-anak kecil ini. Indahnya alam kanak-kanak.
Di sudut lain pula ada anak-anak remaja yang sedang berkumpul di atas motosikal masing-masing. Mungkin menunggu waktu yang sesuai untuk merempit. Ada juga anak-anak gadis berpakaian kurang sopan sedang berjalan-jalan. Aku mengeluh. Sebagai seorang gadis, aku turut merasa malu melihat mereka berpakaian seperti itu. Ya, lebih memalukan kerana mereka bertudung. Tudung yang bukan tudung dengan pakaian yang ketat dan sendat.
Aku mengalihkan pandanganku ke tempat lain. Hatiku sayu mengenangkan umat Islam kini yang semakin rapuh imannya. Dan aku? Tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengubahnya. Aku bermonolog sendirian. Dahulu, aku juga seperti mereka. Bertudung sekadar syarat. Bagiku, asalkan bertudung itu sudah cukup. Tetapi segala-galanya berubah kerana suatu peristiwa. Aku termenung mengingat kembali peristiwa itu.
************************************************
Kisah itu bermula ketika aku berusia 13 tahun. Aku mula menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Aku bersekolah di sebuah sekolah menengah agama yang terkemuka di Hulu Langat. Hari pertama persekolahanku, aku berkenalan dengan ramai teman baru dan ada juga teman-teman dari sekolah rendah yang turut menyambung pelajaran di situ sepertiku.
Ingin aku ceritakan betapa indahnya suasana masyarakat di situ. Gadis-gadisnya bertudung labuh dan pemuda-pemudanya segak berkopiah. Suasananya tenang dengan pokok-pokok rendang yang menghijau, kicauan burung dan ikan-ikan yang sedang bermain di kolam. Tetapi, itu adalah perasaan yang ku rasakan kini iaitu saat aku telah menginjak dewasa, saat aku mengenangkannya.
Namun, saat suasana itu sedang ku alami, hatiku remajaku memberontak. Mengapa aku harus bertudung labuh ke sekolah? Hodohnya! Itulah yang ku fikirkan saat itu. Aku gadis bertudung tetapi aku bukan gadis bertudung labuh.
Hari-hari persekolahanku, ku lalui seperti biasa. Aku mula dapat menyesuaikan diri. Sehinggalah pada suatu hari, kami semua dikehendaki hadir ke sekolah pada hari Sabtu untuk membersihkan kelas sempena Pertandingan Keceriaan dan Kebersihan Kelas. Di rumah, aku mula gelisah. Apa yang harus ku pakai untuk ke sekolah??
'Ish, nak pakai apa ni? Takkan nak pakai tudung pendek ni kot?? Malulah!'
Aku benar-benar bingung. Aku tidak mungkin akan hadir ke sekolah dengan tudung pendekku. Aku malu kerana selama ini semua teman-temanku hanya pernah melihatku bertudung labuh sekolahku itu. Pasti mereka akan menganggapku sebagai seorang yang hipokrit. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk meminjam sehelai tudung labuh ibuku. Walaupun ibuku tidak bersekolah agama, tetapi dia bertudung labuh. Mungkin kerana dia mengajar di sekolah agama atau mungkin kerana itu adalah keinginannya sendiri. Aku juga tidak tahu.

'Mak, nak pinjam tudung labuh sehelai'
'Nak buat apa?'
'Esok Along kena pergi sekolah'
'Laa..pakai je la tudung yang Along biasa pakai tu'
'Taknak, Along malulah. Nanti apa pulak kata kawan-kawan Along kalau tengok Along pakai tudung pendek'
'Hah, yelah. Ambillah yang mana Along nak'
Aku segera mengambil sehelai tudung ibuku yang berwarna krim. Hatiku melonjak girang. Bolehlah aku ke sekolah dengan bertudung labuh nanti. Tidak perlulah aku berasa malu dengan teman-temanku lagi.
Esoknya, aku memakai sehelai t-shirt dengan tudung labuh tersebut. Agak lucu kerana tudung itu agak besar denganku. Ah, aku tidak peduli asalkan aku ke sekolah dengan bertudung labuh. Ibuku menghantarku ke sekolah. Saat aku tiba ke sekolah, aku terkedu. Teman-temanku sudah sampai. Ramai. Lelaki dan perempuan semuanya sudah berada di dalam kelas. Tetapi bukan itu yang membuatku terkedu.
'Tengok, kawan-kawan kamu tu tak ada pun yang pakai tudung labuh. Tu lah, mak cakap pakai tudung biasa je kamu takanak dengar. Degil'
Aku hanya mendiamkan diri. Perlahan-lahan aku membuka pintu kereta. Kakiku melangkah lesu keluar dari perut kereta. Terasa seakan-akan semua orang memandangku. Saat itu, aku rasa seperti ingin menangis. Terasa seakan-akan semua orang sedang ketawa melihatku.
Mataku liar memandang sekeliling. Ya, ada yang turut berpakaian sepertiku. Aku lega. Sekurang-kurangnya aku tidak berseorangan. Tetapi, teman-teman rapatku semuanya bertudung pendek. Dan mereka berlagak seolah-olah tidak mengenaliku. Aku hanya melangkah lesu masuk ke dalam kelas.
Aku tersenyum mengenangkan kembali kerenahku. Bertudung labuh kerana malu. Ah, naifnya aku saat itu. Aku kembali semula ke zaman persekolahanku.
'Bagusnya kau pakai tudung labuh'
Kata seorang temanku. Lelaki. Aku sekadar mendiamkan diri. Sebetulnya aku malu. Mereka tidak tahu bahawa aku memakainya kerana terpaksa. Kerana malu dan khuatir dikatakan hipokrit.
Sejak saat itu, aku sentiasa memakai tudung albuh apabila perlu ke sekolah pada bukan hari persekolahan. Ya, masih kerana aku malu. Aku tidak ikhlas memakainya. Bahkan aku merasakan aku sangat hodoh memakai tudung labuh. Tetapi aku tetap memaksa diriku untuk bertahan. Ibuku pula kurang memberikan sokongan. Dia tidak kisah samada aku bertudung labuh ataupun tidak. Baginya, cukup sekadar tudungku itu menutup aurat. Labuh menutupi dada. Walaupun ibu bapaku tidak bersekolah agama, mereka amat menitikberatkan ajaran agama dalam keluarga. Aku dilarang sama sekali berpakaian tidak menutup aurat di luar. Walaupun aku bertudung pendek, auratku terjaga. Mungkin kerana tubuhku yang kecil pada masa itu lalu walaupun bertudung pendek, perhiasan wanitaku terjaga.
Suatu hari, aku keluar ke Pekan Kajang bersama kawan-kawanku. Tetapi, kali ini aku bertudung pendek. Ah, aku lebih malu memakai tudung labuh kalau di Kajang. Di situ, orang-orangnya bergaya. Pasti aku akan kelihatan aneh dengan tudung labuh apabila berada dalam kalangan mereka. Malahan aku berbaju ketat dan tudungku silang sehingga nampak perhiasan wanitaku. Aku bersikap berani kerana ibuku dan ayahku tiada di rumah. Mereka hanya akan pulang pada waktu malam.
Aku berpisah dengan kawan-kawanku apabila mahu pulang. Aku pulang dengan menaiki bas. Saat aku masuk ke dalam perut bas, ku lihat hanya tinggal satu tempat duduk di sebelah seorang makcik. Aku segera mengambil tempat. Penat berdiri.
Di pertengahan jalan, makcik yang duduk di sebelahku turun lalu tempatku diambil oleh seorang lelaki muda. Botak. Berpakaian aneh dengan corak tengkorak pada bajunya. Aku mengengsot sedikit lalu memandang kosong ke luar tingkap. Tidak selesa. Tiba-tiba terasa ada tangan seseorang di pinggangku. Aku tersentak tetapi aku tidak segera melatah. Aku menjeling pada pemuda di sebelahku. Matanya tertutup rapat. Sangkaku dia tertidur dan tangannya tidak sengaja menyentuhku. Lalu ku alihkan tangannya dan kembali memandang ke luar tingkap. Tiba-tiba ia berlaku sekali lagi. Kali ini ku rasakan tangan itu bergerak-gerak menandakan kali ini perbuatan itu disengajakan. Pantas aku mengambil begku dan diletakkan di antara aku dengannya. Kalau ikutkan hatiku yang baran, nahas lelaki ini ku kerjakan. Tetapi, keadaan sesak di dalam bas membantutkan niatku. Aku menudukkan tubuhku dan menongkat dagu memandang lagi ke luar. Dan tak ku sangka lelaki tiu berani meletakkan tangannya di bahuku.
'Hoi!!!'
Tanpa perasaan malu aku bangun dan berteriak. Aku tidak peduli dengan mata-mata yang sedang memandangku. Lelaki ini harus ku ajar. Tetapi dia sekadar membatu di tempatnya tanpa sedikit pun terkuit.

'Kau ni apahal?! Jangan nak kurang ajar dengan aku!'
'Apa?? Apa aku buat kat kau??'
Dia memandangku sinis.

'Apa??'
'Kau..kau..urgh, tepilah, aku nak keluar! Pakcik, berhenti! Saya nak turun!'
Aku berteriak kepada pemandu bas agar segera berhenti. Sakit hatiku melihat wajah pemuda itu. Sebelum aku turun, aku memijak kaki pemuda itu sekuat hatiku. Dia terjerit. Puas hatiku.
'Padan muka, jangan nak main-main dengan aku!'
Aku pulang dengan menaiki bas lain selepasnya. Di rumah, apabila ibuku pulang aku menceritakan peristiwa tersebut pada ibuku. Dia memarahiku. Katanya, aku tidak berhati-hati sehingga ada orang yang mengambil kesempatan terhadapku.
Wajahku berkerut apabila mengingati peristiwa hitam itu. Itu pertama kali dalam hidupku peristiwa sedemikian terjadi padaku. Sejak itu, aku jadi trauma untuk menaiki bas. Tetapi, ada peristiwa selepas itu yang telah mengubahku menjadi seperti aku sekarang ini.
Petang itu, aku baru sahaja selesai menghadiri kelas tambahan di sekolah. Kebiasaannya ibuku akan datang mengambilku tetapi petang itu ibuku tidak dapat datang kerana kereta ibuku rosak dan berada di bengkel kereta. Itu bermakna aku harus menaiki bas untuk pulang.
Suasana di Pekan Kajang seperti biasa. Penuh sesak dengan manusia. Aku mula terbayang peristiwa hitam yang pernah terjadi padaku di dalam bas. Mataku meliar mencari bas yang kosong. Aku tidak mahu mengambil risiko menaiki bas yang penuh sesak. Khuatir peristiwa itu akan berulang lagi.
Bas mula bergerak menuju ke destinasi. Aku duduk seorang diri. Begku letakkan di kerusi sebelahku. Sengaja. Aku tidak mahu ada orang duduk di situ. Tiba-tiba..
'Kak, boleh saya duduk kat sini?'
Seorang pemuda berusia dalam lingkungan 20-an menegurku. Aku memandangnya sekilas.
'Suka-suka je panggil aku kakak. Mentang-mentang aku pakai tudung labuh. Tak nampak ke aku bawa beg sekolah ni?'
Aku serba-salah. Aku bimbang peristiwa itu akan berulang lagi. Tanganku perlahan-lahan mengambil beg di sebelah tempat dudukku. Pemuda itu juga kelihatan teragak-agak untuk duduk. Dia sekadar duduk di hujung kerusi. Langsung tidak bersentuh bahu denganku. Aku tersenyum. Lega.
'Sekolah lagi ke?'
Aku tersentak apabila suara lelaki itu menegurku. Aku menoleh dan mengangguk.

'Sekolah agama ke? Kat mana?'
' A'ah, sekolah agama kat Langat'
'Ooh..yeke. Baguslah adik pakai macam ni bila keluar. Jangan pakai tudung labuh kat dalam sekolah je. Orang yang pakai tudung labuh ni, maruahnya terjaga. Bila pakai tudung labuh, orang tak berani mengurat. Hihi..'
Aku terdiam mendengar kata-katanya. Terasa kata-kata itu benar-benar tepat menikan di hatiku.
'Abang turun dulu. Kalau nak tahu, abang ni ex sekolah adik'
Pemuda sopan itu berlalu keluar. Aku menghantar langkahnya dengan pandangan kosong. Sekumpulan anak muda masuk ke dalam perut bas. Bising. Mereka berpakaian serba hitam dengan rambut tercacak berwarna-warni. Aku kembali teringat peristiwa itu. Belum sempat berbuat apa-apa, salah seorang dari mereka mengambil tempat di sebelahku. Tetapi, dia juga seperti pemuda sopan tadi. Sekadar duduk di hujung kerusi. Aku terkesima. Kata-kata pemuda tadi kembali terngiang-ngiang di telingaku. Bayangan peristiwa hitam itu bermain di mindaku. Ya, saat itu aku berpakaian kurang sopan. Tudungku pendek menampakkan perhiasanku. Bajuku ketat dan tidak menutup aurat.
Aku kembali ke alam nyata. Bayangan peristiwa lalu itu hilang dari mindaku. Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk berubah. Aku bersyukur kerana diganggu oleh pemuda kurang sopan itu dan aku bersyukur dipertemukan dengan pemuda sopan yang menasihatiku itu. Jika tidak kerana mereka, pasti aku semakin jauh tersesat. Pasti aku akan sentiasa bertudung labuh kerana malu bukan kerana ALLAH.
Sejak peristiwa itu, aku mula mengikhlaskan diri dalam bertudung labuh. Aku tidak lagi memakainya hanya untuk ke sekolah. Aku memakainya di mana-mana sahaja apabila aku keluar dari rumah. Dan segalanya benar, bertudung labuh secara automatik membuatku terjaga. Maruahku terpelihara dan tidak dipermainkan. Tiada orang yang berani menggangguku bahkan dengan bertudung labuh juga, aku jadi lebih berhati-hati dengan sikapku kerana aku tahu ada banyak mata yang memerhati langkahku.
Aku bangun lalu turun ke bawah. Rupa-rupanya adik-adikku keluar bermain di taman. Aku tersenyum melihat adik-adik perempuanku yang turut manis bertudung labuh. Aku ingin mereka menjadi gadis solehah. Kini, aku bertudung labuh kerana ALLAH bukan lagi kerana malu dengan teman-temanku. Walaupun bukan tudung labuh seperti waktu aku bersekolah, ia masih lagi labuh dan menutup auratku. Aku akan sentiasa cuba untuk memperbaiki diriku menjadi gadis yang solehah.
p/s: Kisah ini adalah kisah benar seorang gadis. Kisahnya simple tetapi boleh dijadikan pengajaran untuk semua. Saya gunakan bahasa diri aku agar pembaca mudah untuk memahaminya. Semoga kita diberi peluang untuk berubah seperti gadis ini dan kita sama-sama doakan agar dia istiqamah dengan perubahannya itu. Amiiinnnn..

Wednesday, August 10, 2011

Wanita Pertama Yang Menghuni Syurga




                      Rasulullah s.a.w pernah memberitahu puteri kesayangannya Fatimah, bahawa beliau bukanlah wanita pertama yang akan masuk ke syurga. Hal itu sangat membuatkan Fatimah berasa dukacita dan cemburu lalu beliau pun bertanya kepada Rasulullah apakah amalan wanita tersebut sehingga beliau layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Rasulullah s.a.w memberitahu kepada puterinya itu supaya beliau pergi ke rumah wanita itu dan melihat sendiri amalan wanita tersebut.
Lalu, Fatimah pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah wanita yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu. Pada kali pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Siti Muti'ah itu, Fatimah tidak dibenarkan masuk kerana suami wanita tersebut tiada di rumah dan beliau tidak mendapat keizinan daripada suaminya untuk membenarkan tetamu masuk.
Maka, Fatimah pulang kembali ke rumahnya dan akan datang semula ke rumah tersebut pada keesokan harinya. Pada hari berikutnya, Fatimah datang kembali dengan membawa dua orang puteranya, Hassan dan Hussin. Malang lagi menimpa Fatimah kerana Siti Muti'ah tidak membenarkan Fatimah masuk ke rumahnya kerana beliau hanya meminta izin dari suaminya supaya Fatimah seorang sahaja yang boleh masuk ke rumahnya manakala Hassan dan Hussin tidak boleh masuk tanpa kebenaran suaminya. Sekali lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat melihat amalan wanita tersebut.
Pada hari yang ketiga barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam rumah Siti Muti'ah. Pada pandangan Fatimah setelah pertemuannya dengan Siti Muti'ah, tiada apa-apa yang istimewa pada wanita tersebut yang melayakkan beliau menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Sedang asyik Fatimah berbual dengan Siti Muti'ah, tiba-tiba Siti Muti'ah bangun dari duduknya dan segera bersiap-siap membuatkan Fatimah kehairanan. Rupa-rupanya wanita tersebut menyiapkan dirinya untuk menyambut kepulangan suaminya.
Sewaktu menyambut kepulangan suaminya, Siti Muti'ah menyediakan air dan menghidangkan sedikit makanan untuk suaminya. Beliau juga dilihat menyediakan sebuah tongkat yang akan digunakan oleh suaminya bagi menghukum Siti Muti'ah sekiranya didapati beliau melakukan kesalahan sepanjang pemergian suaminya. Siti Muti'ah juga memakai pakaian yang menarik untuk menghiburkan suaminya.
Setelah melihat adegan itu, Fatimah pulang dengan perasaan yang cukup kagum dan terharu dengan layanan yang sangat istimewa yang diberikan oleh Siti Muti'ah terhadap suaminya. Fatimah terus mendapatkan ayahandanya Rasulullah s.a.w dan menceritakan tentang peristiwa yang dilihatnya di rumah Siti Muti'ah. Dengan penuh rasa rendah diri, Fatimah memberitahu kepada Rasulullah bahawa sememangnya Siti Muti'ah sememangnya layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya itu. Wallahu'alam

Inpirasi Wanita

             

                       Terdetik pula nak melakar sedikit harapan, dan inspirasi sebagai seorang wanita. Sebelum ni tak pernah sentuh lagi pasal wanita dalam lakaran minda ini. Sungguhpun dalam setiap penciptaan langit dan bumi ada hikmah yang tersembunyi. Begitu juga penciptaan manusia yang bergelar seorang wanita. Catatan ini ditujukan buat diri sendiri jua yang bisa mengatur kata-kata namun MUJAHADAH yang selalu diminta untuk melaksanakannya. Juga buat yang membaca semoga mendapat sedikit manfaat. insyaAllah.
Buat seorang yang bernama wanita...
Lengkapkan dirimu dengan Saqofah. Saqofah syara'iyyah dan saqofah ma'siroh.
Saqofah syaraiyyah ialah yang berkaitan basic sebagai seorang muslim seperti hal-hal fardhu ain dan juga yang berkaitan dengan hukum-hukum syarak. Kita boleh melihat contoh Saidatina Aisyah yang cukup cerdik dan cerdas dalam mengeluarkan fatwa. Ini semua didasarkan ilmu yang dimilikinya. Beliau tidak mungkin dapat megeluarkan fatwa sekiranya tidak mengetahui keadaan realitinya pada masa itu. Betapa berjasanya Aisyah pada masyarakat sehingga beliau adalah antara orang yang menjadi rujukan dalam perkara-perkara berkaitan hal-ehwal masyarakat dan hukum hakam. Serta beberapa lagi tokoh wanita seperti Fatimah az-Zahra , dan Asma' binti Abu Bakar.
Justeru, kedua-dua aspek ilmu atau saqofah yang disebutkan tadi penting dalam menjana ummah yang berkualiti. Seorang wanita perlu terlebih dahulu memahami deennya sendiri tentang asas-asas seorang muslim dan dilengkapkan pula dengan saqafah ma'siroh iaitu keilmuan tentang keadaan realiti masyarakat masa kini.
Orang yang tidak mengetahui atau tidak sedar tentang keadaan masyarakatnya adalah ibarat yang 'jahil' walaupun dia berpelajaran tinggi manapun. Dan orang yang berpelajaran tinggi manapun jika tidak turun ke lapangan masyarakat hanya mensia-siakan apa yang telah didapatinya. Oleh itu juga wanita mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat.
Dalam membentuk masyarakat, seorang wanita memainkan peranan yang teramat penting. Umpamanya jika sudah bersuami dan sang suami adalah penggerak kepada gerakan dakwah maka si isterilah yang akan menjadi pendorong paling utama kepadanya. Jika berkelapangan si isteri juga boleh turun bersama-sama dengan suami dalam menjayakan misi mengajak manusia ke arah kebaikan.
Taat dan Menyokong Suami Sepenuh Hati
Saya begitu tertarik dengan peribadi isteri yang begitu dikasihi dan di cintai oleh Rasulullah iaitu Saidatina Khadijah. Pemergiannya diratapi nabi kerana beliaulah satu-satunya wanita yang dikala orang lain mendustakannya dia membenarkan, dan Khadijah lah orang pertama yang menjadi pendamping kepada nabi saat wahyu pertama telah diturunkan.
Rasulullah berkata "Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku di kala orang lain mengingkariku, dia membenarkanku di kala orang lain mendustakanku, dia menyerahkan hartanya kepadaku di kala orang lain menghalangiku dan Allah mengurniakan keturunan melalui rahimnya kala aku tidak dapat daripada perempuan-perempuan lain ( isteri-isteriku )".
Kita menelusuri pula perjuangan wanita yang berjiwa kental seperti Zainab Al-Ghazali. Di saat beliau diperisterikan dengan suaminya yang merupakan seorang ulama' di masa itu, beliau telah mengatakan "Hak saya untuk membuat syarat kepada engkau supaya tidak menghalang saya untuk berjihad di jalan Allah S.W.T, di mana saya telah diletakkan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai mujahidin di dalam harakah ini. Janganlah engkau bertanya apa yang akan saya buat, tetapi hendaklah engkau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakan saya."
Dia memperingatkan suaminya lagi, "Sekiranya berlaku pertembungan di antara perkahwinan dengan dakwah, akan berakhir perkahwinan dan kekal dakwah kepada Allah S.W.T. Saya minta kepada engkau supaya menunaikan janji engkau. Janganlah engkau tanya siapakah saya akan berjumpa. Saya berdoa kepada Allah S.W.T supaya Allah jadikan balasan jihad yang saya lakukan ini sebahagiannya untuk engkau, sekiranya amal saya ini diterima oleh Allah S.W.T."
Permata Keluarga Bahagia
Selain itu juga wanita amat berharga dalam membina keluarga yang bahagia. Disebabkan itu juga dalam pemilihan seorang isteri juga di letakkan agamanya terlebih dahulu yang menjadi ukuran. Setiap lelaki menginginkan wanita yang solehah dan begitu juga wanita menginginkan lelaki yang soleh yang akan sama-sama menuju ke arah syurga abadi. Dan alangkah indahnya andai di dunia dapat bersama di akhirat jua dapat bersama. Namun itu masih terlalu sukar untuk di realisasikan. Tapaknya adalah iman yang bengkam utuh di dasar jiwa kedua-dua hamba.
Berbalik kepada persoalan wanita yang mempunyai tanggungjawab dan amanah menjaga kerukunan rumahtangga. Bukan sahaja seorang wanita itu perlu menguruskan suami sahaja, tetapi juga rumah dan tangga nya sekali. Apabila lahirnya cahaya mata, bertambah lagi amanah seorang isteri menjadi seorang ibu dan seorang pendidik. Oleh itu wanita perlu lah telah terbiasa dengan keadaan susah.
Bagaimana melihat suatu peristiwa puteri kesayangan baginda Rasulullah S.A.W, Fatimah az-Zahra yang semua memaklumi suaminya adalah Saidina Ali R.A yang gemilang dengan peribadinya. Sebagai seorang isteri, Fatimah menguruskan hal-ehwal rumahtangganya. Memasak, mengemas dan seumpamanya. Sehinggakan Ali begitu kasihan melihat keadaan isterinya itu yang bersusah-payah menguruskan hal-ehwal rumahtangga. Lalu Ali mencadangkan agar apabila Fatimah berjumpa dengan ayahnya untuk meminta seorang pembantu rumah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh Fatimah.
Suatu hari Fatimah mendatangi Rasulullah S.A.W untuk menyatakan hasratnya itu tapi Baginda ketika itu sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang sahabatnya. Fatimah berasa malu dan terus pulang ke rumahnya. Rasulullah telah menyedari kehadiran puteri kesayangannya itu maka baginda pun ke rumah Ali dan Fatimah untuk berjumpa dengan mereka.
Pengganti Pembantu Rumah
Rasulullah bertanya tentang tujuan kedatangan Fatimah ke rumah baginda tempohari lalu Ali menyatakan "Saya ingin memberitahu kepadamu wahai Rasulullah bahawa Fatimah selalu melakukan tugasan mengangkat air sehingga dadanya berasa sakit, suka menggiling lada dengan penggiling sehingga memberi kesakitan kepada tangannya, membersihkan rumahnya sehingga bajunya berdebu dan menyalakan api sehingga pakaiannya kotor. Saya telah mencadangkan agar berjumpa denganmu dan meminta seorang pembantu supaya dia tidak kepenatan lagi.".
Kemudian Rasulullah berkata : "Kalian hendak aku mengajarkan tentang sesuatu yang lebih baik bagi kalian jika dibandingkan dengan seorang pelayan? Apabila kamu hendak masuk tidur, bacalah tasbih sebanyak 33 kali, tahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 34 kali. Semuanya berjumlah seratus dalam ucapan dan seribu kebaikan dalam timbangan." Fatimah lalu berkata " Aku sangat senang dengan apa-apa yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya."
Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa ketika Fatimah menceritakan hasratnya kepada Rasulullah, baginda telah menangis dan berkata " Wahai Fatimah! Demi Allah yang telah mengutuskan aku dengan kebenaran. Sesungguhnya di dalam masjid terdapat 400 manusia yang tidak mempunyai pakaian dan makanan. Jika aku tidak gentar dengan kayu yang berduri pasti aku akan berikan seorang pembantu kepada kamu. Tetapi Fatimah aku tidak mahu pahala kamu beralih kepada seorang pembantu dan aku bimbang Ali bin Abi Talib sewaktu kiamat kelak, Allah akan bermusuhan denganmu jika Ali meminta haknya daripada kamu." Kemudian baginda mengajarkan kepada Fatimah solat tasbih.
Budi Pekerti Rasulullah SAW
Pernah suatu hari Rasulullah telah mendatangi kepada mereka dan baginda melihat Fatimah dan Ali sedang sama-sama menggilingkan biji-bijian. Rasulullah bertanya siapakah diantara kalian yang menghaluskannya di antara mereka berdua. Dan Ali memberitahu bahawa Fatimah lah yang telah melakukannya. Lalu baginda meminta Fatimah untuk bangun lalu baginda mengambil tempat Fatimah untuk menggiling pula.
Subhanallah! Barakahnya rumahtangga dalam keadaan begini. Mudah-mudahan kisah-kisah wanita yang dipaparkan akan dapat menjadi inspirasi kepada wanita untuk menjadi wanita yang unggul dalam menerajui ummah akan datang. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia dengan buaian takwa dan keimanan yang padu persis Masyitah yang rela terjun bersama bayinya ke dalam minyak panas semata-mata mempertahankan keimanannya dari cengkaman Haman dan Firaun. Juga persis Sumaiyah wanita pertama yang syahid mempertahankan keimanan yang mendalam kepada Allah dalam jiwanya. Juga persis wanita-wanita idaman Syurga yang harumnya melewati haruman Firdausi. Kekal menjadi INSPIRASI.